MISSOURI, AMERIKA SYARIKAT - Gara-gara menggotorkan seluar, seorang lelaki tergamak mencampak kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ke dalam tab mandi berisi air panas sebagai hukuman, lapor Mirror.
Korbin Edwards, 2, dijaga oleh teman lelaki ibunya, Daniel Rose, 32, bertindak demikian kerana berang mangsa telah menggotorkan seluarnya.
Mangsa yang mengalami kesan lecur tahap tiga dari bahagian pinggang ke bawah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kejadian itu menyebabkan perut dan ususnya rosak teruk memaksanya menggunakan N-tiub, katerer dan Iv selama beberapa minggu.
Selepas terselamat dari kecederaan yang dialami, doktor memberi amaran bahawa mangsa tidak akan dapat berjalan lagi berikutan kecederaan teruk di kulitnya. Namun ajaibnya, Korbin yang kini berusia enam tahun mampu berjalan dengan dorongan dan bantuan ibunya.
DJ Gilbert, 34, dari Bandar Kansas di Missouri, Amerika Syarikat berkata, "Saya benar-benar takut bila pertama kali melihat kulitnya yang merah terang dan putih. Saya dimaklumkan dia mengalami luka terbakar tahap tiga bermula dari bahagian perut, pinggang, alat kelamin, punggung dan keseluruhan kakinya.
"Disebabkan kejadian itu, perut dan ususnya telah rosak sehingga meneyebabkan dia tidak boleh makan, minum, pergi ke bilik air sendirian dan segala-galanya. Sukar untuk saya melihat keadaan dia begitu.
"Dia memerlukan tiub makanan, IV dan keteter selama tiga minggu. Itupun dia tidak boleh makan makanan pejal bagi tempoh masa yang lama.
"Tetapi dia semakin pulih dan keadaannya semakin baik dan walaupun diberitahu dia mungkin tidak boleh berjalan lagi, dia buktikan bahawa tanggapan itu salah. Dia seorang budak yang sangat kuat." katanya.
Difahamkan, Gilbert meninggalkan dua anaknya dalam jagaan Rose pada 2013 ketika dia berada di tempat kerja. Pada awalnya dia terkejut apabila menerima gambar anaknya dengan tanda merah yang didakwa Rose sebagai ruam lampin.
"Saya kenal Daniel selama 15 tahun dan kami telah bercinta selama beberapa bulan dan dia telah menjaga Korbin ketika kejadian itu berlaku.
"Dia menghubungi saya di tempat kerja dan memaklumkan Korbin mengalami ruam. Lalu saya meminta dia menghantarkan gambar dan apabila saya menerimanya, dari bahagian perut hingga ke bawah kaki Korbin kemerah-merahan.
"Apabila saya tiba di rumah, Krobin baring di sofa dan kulitnya telah tertanggal. Saya membungkusnya dengan selimut dan bawa ke hospital," katanya.
Siasatan polis mendapati, Daniel telah mencampak mangsa ke dalam tab mandi yang berisi air panas kerana berang mangsa mengotorkan pakaiannya.
"Dia beritahu saya ia adalah ruam lampin tetapi dalam keterangannya pada polis, dia mendakwa Korbin terjatuh dalam tab mandi.
"Kami percaya Daniel marah kerana Korbin kotorkan seluarnya dan disebabkan itu Daniel campak dia ke dalam air panas," katanya.
Daniel Rose, dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah pada Ogos lalu.
"Saya tak sangka dia tergamak lakukan anak saya begini sedangkan dia langsung tiada tanda-tanda akan menjadi manusia kejam seperti ini. Dia pernah berkhidmat sebagai tentera dan dia orang yang baik yang saya sangka dia boleh dipercayai," katanya
No comments:
Post a Comment