ADAKAH rahsia yang tersimpan di antara diri kita dengan
Allah Taala? Menyembunyikan amal kebaikan dari pengetahuan orang lain. Sungguh
berat untuk dilakukan kerana lumrahnya manusia memang suka kepada puji-pujian.
Berbeza jika seseorang itu melakukan kejahatan, dia akan bersusah-payah
menyembunyikan kejahatannya itu daripada pandangan manusia.
Bersyukurlah kerana Allah SWT menghijab segala aib kita
daripada mata manusia. Apakah rahsia yang anda sembunyikan itu? Jika ia suatu
kejahatan, maka banyakkanlah istighfar, kalau rahsia itu adalah amal ibadat
yang ikhlas, maka bersyukurlah kerana Allah SWT menunjukkan diri anda.
Al-Shaikh Muhammad Salih Al-Munajjid menukilkan dalam
kitabnya Silsilah A’mal al-Qulub: “Imam al-Mawardi menghasilkan penulisan yang
banyak dalam bidang tafsir al-Quran, fiqah dan cabang ilmu lainnya. Namun tiada
satu pun karyanya yang diterbitkan semasa hidupnya, melainkan ketika saat akhir
hayatnya. Beliau berkata kepada sahabatnya “Semua buku itu adalah hasil
karyaku, aku berwasiat kepadamu jika aku sedang menghadapi nazak, letakkanlah
telapak tanganmu pada telapak tanganku. Jika aku menggenggamnya ketahuilah
bahawa tidak ada satu pun daripada hasil tulisanku itu diterima oleh Allah
Taala. Bawalah buku-buku itu ke sungai Tigris dan campakkanlah ia semua ke
dalamnya. Sebaliknya, jika aku membuka tanganku, maka ketahuilah bahawa semuanya
diterima Allah Taala sebagaimana yang kudambakan dari-Nya.” Ternyata Imam
al-Mawardi membuka tangannya dan sesuai dengan wasiatnya buku beliau telah
diterbitkan.
Cukuplah hanya Allah SWT yang tahu segala amal baik yang
dilakukan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menghebahkan amal berkenaan. Ia
tidak salah jika diniatkan untuk memberi teladan kepada orang lain dan supaya
syiar Islam dapat dijadikan contoh manusia seluruhnya. Tetapi bagaimana dengan
risiko sifat riak yang merosakkan amal?
Jika kita tidak mahu terjebak oleh penyakit berbahaya ini,
sebaiknya kembalilah mengulang kaji pelajaran ikhlas yang pernah membuat
Saidina Abu Hurairah RA amat tertekan ketika menyebut tentang hadis Rasulullah
SAW berikut ini. Dikatakan bahawa beliau kerap menangis kerana takut ketika
membacakannya.
Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang
yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang
lelaki yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT
mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di
dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya
“Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia
menjawab “Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu
sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman “Engkau dusta! Engkau telah
berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan
perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu.” Kemudian dia
diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.
Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar
ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya “Apakah yang
engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata “Aku belajar ilmu dan
mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu.
Allah berfirman “Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu
supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat
gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu.” Orang
itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.
Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan
rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah
bertanya “Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab “Tiada
satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya
telah dermakan harta saya di sana. Allah SWT berfirman “Engkau dusta! Engkau
menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut
orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka.” Hadis riwayat Imam
Muslim.
Bolehkah kita terhindar daripada niat yang lain selain untuk
Allah SWT? Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan. Firman
Allah Taala yang bermaksud ”Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka
kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan.” (Surah
Al-Furqan: Ayat 23).
Hasutan syaitan ke atas orang yang beramal tidak akan
berhenti. Adakalanya kita berasa malas melakukan ibadat kerana ada bisikan yang
mengatakan “Untuk apa beramal jika hati tidak ikhlas, tentu tidak diterima oleh
Allah.”
No comments:
Post a Comment