PERUBAHAN DALAM POLISI PENGAMBILAN PELATIH GURU |
Guru pelatih merupakan komponen yang paling berpengaruh terhadap terciptanya hasil pendidikan yang berkualiti. Usaha penambahbaikan yang dilakukan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tidak akan memberikan sumbangan yang ketara tanpa memantapkan kualiti guru pelatih. Hal ini kerana, guru pelatih merupakan asas kepada pembangunan pendidikan yang berkualiti pada masa akan datang. Oleh itu, pada tahun 2012, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat perubahan polisi pengambilan guru pelatih dari aspek akademik dengan hanya memilih pelajar-pelajar berprestasi akademik cemerlang diambil sebagai calon guru pelatih. Perubahan polisi ini bertujuan untuk melahirkan bakal guru yang berprestasi yang diharapkan dapat memacu prestasi pencapaian pelajar di sekolah.
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang adalah berpotensi untuk menjadi seorang bakal guru yang berkualiti dalam membantu sekolah memacu prestasi pencapaian murid. Guru berkualiti adalah mereka yang dapat dan mampu menguasai serta merealisasikan segala kemahiran, pengetahuan dan kepakaran yang ada pada diri mereka sebagai alat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Oleh itu, bakal-bakal guru yang berkualiti dari segi pencapaian akademik adalah merupakan aset yang penting kepada sesebuah sekolah dan menjadi aspirasi ke arah melahirkan pelajar mempunyai pencapaian yang cemerlang.
Perubahan polisi yang dilakukan adalah bertujuan untuk melahirkan bakal guru berkualiti yang diharapkan dapat meningkatkan pencapaian prestasi murid di sekolah kelak. Berdasarkan sebuah Kajian yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an tentang perhubungan antara prestasi guru dan pencapaian pelajar. Kajian menunjukkan bahawa apabila dua orang murid berumur lapan tahun dengan prestasi sederhana diajar oleh guru yang berlainan iaitu seorang guru berprestasi tinggi, dan seorang lagi guru berprestasi rendah. Hasil kajian menunjukkan murid yang di ajar oleh guru yang mempunyai prestasi tinggi menunjukkan pencapaian murid meningkat sebanyak 90 persentil manakala murid yang diajar oleh guru yang mempunyai prestasi rendah menunjukkan pencapaian murid menurun sebanyak -37 persentil. Hasil prestasi pencapaian akademik murid tersebut berbeza sebanyak lebih daripada 50 poin persentil dalam tempoh tiga tahun. Dapatan yang sama juga ditunjukkan dalam kajian yang dijalankan di Dallas dan di Boston, Amerika Syarikat, serta di England. Melalui kajian ini dapat menunjukkan bahawa guru yang berkualiti merupakan faktor kepada pencapaian murid. Oleh itu, polisi pengambilan pelajar lepasan SPM yang berakademik cemerlang adalah mampu menjadi guru berprestasi dalam meningkatkan pencapaian guru
Kajian hubungan antara kualiti guru bahasa arab dan pencapaian pelajar dalam bahasa arab yang dijalankan di Maktab Rendah Putra juga menunjukkan perkaitan antara guru dan prestasi pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar berpendapat bahawa tahap kualiti diri guru Bahasa Arab adalah tinggi iaitu sebanyak 91.2%, diikuti 7% pada tahap sederhana dan hanya 1.8% pada tahap rendah. Dalam kajian ini menyatakan guru juga memainkan peranan dalam menghasilkan pembelajaran Bahasa Arab yang berkualiti. Dalam mana-mana proses P&P, guru merupakan aset yang penting dalam memastikan kejayaan pelajar.
Menurut Atan Long (1976) dalam kajian kes melibatkan mahasiswa Politeknik Unku Omar menyatakan bahawa siswazah yang mempunyai prestasi akademik yang cemerlang akan mempamerkan budaya kerja yang berkualiti berbanding siswazah yang mempunyai prestasi akademik yang kurang cemerlang. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara kualiti kerja dan prestasi akademik, maka ia membuktikan bahawa guru pelatih yang berprestasi akademik cemerlang akan mampu menjadi seorang guru yang berkualiti. Hal ini turut disokong oleh Noryati ismail (2006) dalam kajiannya menyatakan bahawa faktor guru merupakan penyumbang penting bagi menentukan kualiti Pendidikan dan sesebuah sekolah tidak boleh meningkatkan pencapaian pelajar tanpa memperbaiki kualiti guru.
Selain itu, satu lagi kajian yang dijalankan oleh Rohani Ibrahim pada tahun 2010 tentang hubungan guru dan pelajar menunjukkan bahawa wujudnya hubungan positif antara ciri kualiti guru yang dikaji dengan komitmen belajar pelajar. Ini bermakna ciri kualiti yang ada pada guru mempengaruhi komitmen belajar pelajar. Dapatan ini adalah selari dengan kajian Salleh (2003) dan Hattie (2003) yang juga menyatakan guru sangat berpotensi mengubah sikap dan status pelajar terhadap sesuatu kurikulum.Guru yang berkualiti akan dapat meningkatkan komitmen pelajar dalam aktiviti pembelajaran mereka serta menggalakkan penglibatan intelektual pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah
Sememangnya pengambilan guru pelatih yang mempunyai prestasi akademik yang cemerlang boleh meningkatkan prestasi pencapaian murid kerana prestasi akedemik merupakan penanda aras pencapaian tahap yang diperolehi oleh individu dalam bidang ilmu pengetahuan. Ini bermaksud guru pelatih yang mempunyai prestasi akademik yang cemerlang merupakan guru pelatih yang mahir dalam bidang ilmu pengetahuan yang dipelajari serta mempunyai kemahiran pedagogi yang berkualiti. kemahiran pedagogi yang berkualiti mampu memberi kesan terhadap proses pengajaran yang berkesan. Kesan daripada proses pengajaran yang berkesan akan meningkatkan kefahaman murid-murid tentang sesuatu matapelajaran yang diajar yang seterusnya boleh meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam matapelajaran yang di ajar oleh guru. Contohnya, sesorang guru pelatih reka bentuk dan teknologi yang mahir dalam bidang kerja kayu mampu memberikan input pengetahuan yang jelas kepada pelajar tentang proses-proses penghasilan projek kerja kayu maka hasilnya murid akan menghasilkan projek kerja kayu yang baik dan kemas.
Selain itu, pengambilan guru pelatih yang mempunyai prestasi akedemik yang cemerlang dapat megubah corak pendidikan kearah pendidikan yang kreatif dan inovatif. Hal ini kerana, melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh guru pelatih dapat mewujudkan suasana pengajaran yang Kreativiti Dan inovatif. Salah satu perubahan ini adalah dengan menyediakan pengajaran yang mencabar keupayaan pelajar mereka berfikir dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid dan boleh mempelbagaikan aktiviti pembelajaran. Guru pelatih akan bertindak sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi kerana guru pelatih sebagai penyampai ilmu memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.
Untuk merealisasikan guru yang mampu meningkatkan prestasi pelajar, kementerian pelajaran perlu mengetatkan syarat pengijazahan dengan menetapkan standard yang lebih ketat untuk bergraduat daripada latihan perguruan sebelum diambil bertugas sebagai guru permulaan bawah Kementerian. Contohnya, mengetatkan syarat mendapat ijazah kelas pertama dan meletakan syarat minimum purata gred 3.0 keatas sebagai syarat penganugerahan ijazah perguruan serta kepujian. Hal ini bertujuan, memastikan guru pelatih yang berkualiti sahaja yang layak mendapat anugerah kelas pertama. Selain itu, guru permulaan akan dipilih hanya apabila mereka dapat menguasai kompetensi minimum yang mereka perolehi melalui praktikum dan kerja kursus semasa latihan perguruan. Syarat ini bertujuan untuk memastikan guru pelatih yang menguasai bidang pedagogi dan bidang yang diajar sahaja yang diambil sebagai guru.
Selain itu, Untuk merealisasikan guru yang mampu meningkatkan prestasi pelajar kementerian pendidikan malaysia hendaklah Meningkatkan keberkesanan latihan. Memantapkan profesionalisme guru pelatih dengan memberi latihan dalam aspek pedagogi. Hal ini kerana, aspek pedagogi adalah elemen yang paling penting persekolahan yang mempunyai pengaruh ke atas hasil pembelajaran pelajar. Dalam konteks Malaysia, penyelidikan mendapati bahawa amalan pedagogi guru di dalam bilik darjah adalah salah satu faktor yang mempengaruhi prestasi pelajar (Aminah, Hazri, Halim, Maznah dan Farouk, 2004). Oleh itu, guru pelatih yang mahir dalam aspek pedagogi mampu melaksnakan pengajaran yang menarik minat pelajar seterusnya meningkatkan pencapaian murid di dalam kelas.
Seterusnya, dalam merealisasikan guru pelatih yang mampu meningkatkan prestasi pelajar Institut Pendidikan Guru hendaklah mempereratkan kerjasama dengan pihak universiti yang menawarkan program ijazah pendidikan untuk memastikan penggubalan kurikulum pendidikan guru dibuat menepati kehendak dan keperluan sistem pendidikan negara. Melalui kerjasama ini pihak institut pendidikan guru boleh berkerjasama dengan pihak universiti bagi menjalankan penyelidikan tentang dasar-dasar kurikulum yang sesuai digunakan seiring dengan perubahan arus pendidikan masa kini. Contohnya, perubahan kurikulum bersepadu kepada kurikulum standard memerlukan kerjasama daripada pihak universiti bagi menentukan keperluan akedemik guru pelatih seiring dengan arus semasa pendidikan negara.
Namun pemilihan guru pelatih dari aspek prestasi kecemerlangan dalam akademik sahaja masih tidak memadai untuk meningkatkan prestasi pelajar. Hal ini kerana, aspek akedemik sahaja tidak mengukur dari segi aspek fizikal, jasmani dan rohani seseorang calon guru pelatih. Hal ini turut dinyatakan, di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dinyatakan kecemerlangan pendidikan adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Hal ini bermaksud pemilihan guru pelatih dari aspek akedemik sahaja tidak mencukupi kerana seseorang guru pelatih hendaklah melengkapkan dirinya dengan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS). Contohnya, selain faktor akedemik seseorang calon guru pelatih juga perlu mempunyai tingkah laku yang baik supaya guru pelatih berupaya menjadi role model kepada pelajarnya. Guru pelatih yang mempunyai tingkah laku yang baik akan menyebabkan murid-murid akan berasa hormat terhadapnya seterusnya ia akan memudahkan pelaksanaan pengajaran dan meningkatkan prestasi pelajar.
Selain itu, pengurusan emosi yang baik juga perlu diambil kira dalam aspek pemilihan guru pelatih. Hal ini kerana, dalam usaha meningkat prestasi pelajar guru perlu menghadapi tekanan daripada pelajar dan kerja-kerja pengurusan sekolah. Tanpa pengurusan emosi yang seseorang guru akan mudah terganggu emosinya menyebabkan seseorang guru itu tidak boleh fokus terhadap pencapian muridnya. Contohnya dalam kes ‘ Bisikan Misteri Arah Guru Amuk’ yang berlaku di SK Sabur, Kota Kinabalu adalah amat serius kerana guru tersebut telah mengamuk sehingga menggunakan pedang samurai dan menyebabkan seramai 14 orang guru termasuk dua orang guru wanita terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau. Hasil siasatan mendapati bahawa guru tersebut menghadapi tekanan emosi akibat tertekan dengan suasana sekolah. Oleh itu, guru yang gagal mengawal diri akibat emosi akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran. Isu sebegini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang akan membantutkan usaha meningkatkan prestasi pelajar ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan.
PENULIS :
ZULHILME BIN MOHAMAD
IJAZAH SARJANA MUDA REKA BENTUK DAN TEKNOLOGI SEKOLAH RENDAH
No comments:
Post a Comment