Bulan Syaaban adalah bulan ke-8 dalam kalendar Hijrah atau kalendar Islam. Syaaban juga merupakan bulan antara Rejab dengan Ramadan.
Sebahagian ahli ulama menyatakan Syaaban adalah bulan untuk memperbaiki diri dan ibadah serta persediaan menghadapi bulan Ramadan yang mulia. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah seperti:
#1 – Memperbanyakkan Puasa Sunat
Bulan Syaaban adalah bulan yang paling dicintai Rasulullah SAW. Baginda memperbanyakan puasa sunat sehingga hampir berpuasa sebulan penuh, kecuali satu atau dua hari pada akhir bulan.
Dari Aisyah RA berkata;
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW melakukan puasa satu bulan penuh kecuali puasa bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat beliau lebih banyak berpuasa sunah melebihi (puasa sunat) di bulan Syaaban.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
#2 – Malam Nisfu Syaaban
Malam Nisfu Syaaban adalah pada pertengahan bulan iaitu tanggal 15 Syaaban. Berdasarkan hadis, tiada amalan khusus untuk malam Nisfu Syaaban ini.
Namun, sebagai umat Islam, berdoalah dan mohonlah ampun atas keberkatan bulan Syaaban itu sendiri dengan niat untuk meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Menurut pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi tentang amalan pada malam Nisfu Syaaban, tidak pernah diriwayatkan dari Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka melakukan amalan tertentu seperti; berkumpul di masjid, membaca doa tertentu dan solat sunat tertentu yang dikhaskan pada malam itu.
Selain itu juga, tidak ada riwayat untuk membaca surah Yasin, solat dua rakaat dengan niat untuk panjang umur, selamat dari musibah dan dimurahkan rezeki. Namun jika dilebihkan doa dan amal ibadah pada malam itu, tidaklah salah asalkan tidak menyalahi akidah Islam.
#3 – Menggantikan Puasa Ramadan Yang Lalu
Bulan Syaaban adalah bulan yang terbaik dalam usaha mengganti puasa yang tertinggal pada bulan Ramadan tahun-tahun yang lepas. Tidak kiralah atas alasan apa ditinggalkan puasa itu, namun ianya wajib diganti atau dikenakan fidyah berdasarkan syarat dan timbangan tertentu.
Bagi kaum muslimah yang belum habis menggantikan puasa, bulan Syaaban inilah masanya untuk menggantikan puasa tersebut.
Seperti hadis dari Aisyah RA;
Seperti hadis dari Aisyah RA;
“Aku mempunyai hutang puasa Ramadan, aku tidak dapat mengqadanya kecuali di bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Nabi SAW.”(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Namun begitu, menggantikan puasa awal adalah lebih baik.
#4 – Memperbanyak Bacaan al-Quran
Sebagai bulan yang paling hampir dengan Ramadan al-Mubarak, Syaaban sering dikaitkan dengan amalan membaca al-Quran. Berkata Salamah bin Suhail,
“Telah dikatakan bahawa bulan Syaaban itu merupakan bulannya para qurra’ (pembaca al-Qur’an).”
Selain itu, Habib bin Abi Tsabit berkata apabila masuk bulan Syaaban;
“Inilah bulannya para qurra”
#5 – Memperbanyak Amal Ibadah Dan Kebaikan
Diriwayatkan dari Anas RA yang berkata;
“Adalah orang-orang muslim apabila masuk bulan Syaaban, mereka membuka mushaf-mushaf al-Quran dan membacanya, mengeluarkan zakat dari harta mereka untuk memberi kekuatan kepada orang-orang yang lemah dan orang-orang miskin untuk melakukan puasa Ramadan.”
Dengan itu, pada bulan Syaaban ini, lakukanlah pelbagai amal ibadah seperti mendirikan solat sama ada menggantikan solat yang tertinggal pada masa lepas atau mendirikan solat-solat sunat, bersedekah, berzikir, mengeluarkan zakat selain banyak beriktikaf di masjid.
Segala amalan mulia ini bukanlah dikhususkan pada bulan Syaaban sahaja, tetapi pada setiap masa di bulan-bulan yang lain untuk meraih pahala dan kebaikan sebagai umat Islam.
Oleh itu, janganlah dikejar segala kebaikan ini hanya pada bulan-bulan tertentu sahaja, sebaiknya istiqamahlah pada bila-bila masa pun. Bahkan adalah lebih baik jika amalan kebaikan itu sentiasa dipertingkat dari masa ke masa.
Semoga segala kebaikan yang Allah SWT sediakan untuk hambaNya berjaya diraih oleh kita semua. Amin.
No comments:
Post a Comment