Saya nak kongsikan apa yang telah dikatakan kepada saya 17 tahun lalu, apabila anak saya meninggal dunia, iaitu ‘tahniah dan takziah’.
Takziah kerana kesedihan kita di dunia dan tahniah kerana Allah hanya pilih orang-orang yang boleh menghadapinya saja.
Orang yang anaknya meninggal dunia tapi dia reda, Allah beri ganjaran yang sangat besar. Anak-anak yang meninggal waktu kecil dan belum baligh ini, insyaAllah menunggu kita di Padang Mahsyar.
Saya juga yakin bahawasanya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz ini, tentu sekali adalah orang yang mempunyai wawasan, mata hati yang terang dan pandangan akhirat yang jauh.
Benar, bukan senang untuk berpisah dengan anak yang kecil. Kita suka mereka dalam dakapan kita, tapi kita rela melepaskan, mengorbankan emosi dan jiwa kita agar mereka menjadi Al-Hafiz yang mengabadikan kalamullah dalam jiwa mereka.
Percayalah setiap jiwa yang suci itu, akhirnya akan dapat natijah yang baik juga.
Tetapi apabila diuji dengan perkara sebegini, saya nak pesan satu formula agar tenang…
Ia bukan apa yang berlaku PADA KITA tetapi apa yang berlaku DALAM JIWA kita.Peristiwa yang berlaku itu takdir Allah. Respons atau tindakan kita terhadap apa yang berlaku adalah takdir diri kita. Itulah yang menentukan hasil kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Dan bagaimana kita respons atau bertindak bergantung kepada akidah dan sistem nilai kita. Ya, apa yang berlaku di mata fizikal memang semuanya nampak negatif. Mata nafsu kita pun akan mula menyalahkan dan berputus asa.
Tapi mata akal yang berfikir akan menghasilkan zikir, lalu mencelikkan mata hati kita agar melihat HIKMAH peristiwa ini. Lantas menjadikan kita lebih dekat pada Allah dan lebih bertakwa kepada-Nya.
Sebab KPI dan tujuan hidup kita, aset terbesar di dunia ini adalah takwa kita. Yakinlah setiap ketakwaan menghasilkan ketenangan dan setiap kedegilan menghasilkan kepedihan.
Jadi kalau diamalkan formula tadi, peristiwa yang negatif tetapi respons yang sangat positif bersamaan dengan hasil yang tentunya positif. Hasil yang kita mahukan ialah kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.
Jadi bagi ibu bapa dan keluarga, saya nak ucapkan semula apa yang telah diucap kepada saya pada 6 Ogos 2000 oleh sepupu saya, iaitu ‘tahniah dan takziah’.
Henti Kelalaian
Sekarang saya ingin bercakap sebagai seorang ahli masyarakat. Sebagai doktor, apabila kita mengendalikan satu gejala, kita tentunya akan pergi kepada puncanya.
Apa yang kini berlaku pada kanak-kanak yang didapati positif dadah dan kebanyakannya masih di bawah umur, pastilah kita rasa bimbang. Kita rasa risau.
Fikirkan macam mana perkara ini boleh berlaku? Apakah suasana yang kita ada di negara kita sekarang?
Daripada segi role-modellingnya…
Daripada medianya…
Daripada surat khabarnya…
Daripada sekolahnya…
Daripada masyarakatnya…
Daripada media sosialnya…
Apakah kita menyebarkan kasih sayang, penghargaan, menghormati orang atau sebaliknya? Atau kesombongan, keganasan, menunjuk-nunjuk, materialistik dan hedonisme?
Selepas melihat peristiwa pada anak-anak ini berlaku, apakah kita ingin berhibur lagi?Alangkah baiknya kalau kita tidak perlu ada musibah seperti ini sebelum kita ingat mati… ingat akhirat… ingat takwa… Tolong, hentikanlah kelalaian kita selama ini.
Penerbit rancangan patut buat polisi dan pemimpin di semua peringkat, boleh mengambil iktibar. Kalau boleh saya menyeru pada diri saya dan kita semua, hentikan sifat menyalahkan.
Sepatutnya kita semua harus mengambil tanggungjawab. Setiap perkara negatif yang berlaku, sedikit sebanyak kita mesti bertanggungjawab.
Kita mesti melakukan perkara yang berbeza untuk mendapat situasi yang berbeza.
Kita tidak boleh mengubah kehidupan kita kalau tidak menjadi orang yang berbeza. Kalau kita orang yang sama hari ini, tentu esoknya hasil kehidupan kita juga sama.
Sebab itu apabila berlaku musibah, kalau mengikut ulama bermakna 3 perkara, iaitu
(a) Allah nak balas dosa kita.
(b) Allah nak ampunkan dosa kita.
(c) Allah nak naikkan darjat kita.
Kalau dengar perkongsian Datuk Dr. Sharifuddin Musa (bapa mangsa yang terselamat), lihatlah betapa tenangnya beliau. Dapat kita perhatikan ibu bapa kanak-kanak tahfiz ni, yang pentingnya jiwa tu macam mana.
Apabila berlaku musibah dan seandainya kita marah, menurut ulama itu tandanya Allah membalas dosa kita. Tapi kalau kita sabar, Allah mengampunkan dosa kita. Dan kalau kita tenang, bererti Allah mengangkat darjat kita.
Macam itulah kehidupan kita. PENUH UJIAN.
Semua yang berlaku adalah ujian dan markahnya nanti kita akan dapat di Mahsyar nanti.
Oleh itu, sama-sama kita usaha agar tidak gunakan peristiwa ini untuk menyebarkan fitnah atau viralkan rasa benci, sebaliknya berilah kemaafan.
Kita berdoa agar ibu bapa mangsa dan yang menjadi pemangsa ini supaya bertaubat serta kita semua juga bertaubat.
Peka Dengan Persekitaran
Berkenaan kes anak-anak yang positif dadah dan tidak bersekolah… Di sini saya ingin menyeru pada semua pendidik, bolehkah kita cuba jangan fokus pada pelajar cemerlang saja?
Perhatikan situasi kanak-kanak tahfiz ini, yang dipilih Allah untuk mati dalam keadaan seperti ini, insyaAllah mereka dijanjikan syurga. Tetapi bagaimana yang menjadi pemangsanya?
Cuba perhatikan hidup kanak-kanak 11 tahun tahfiz dan 11 tahun pemangsa. Mereka lahir dari ibu dalam situasi yang sama, keduanya putih bersih, di hospital mungkin diletakkan sebelah-menyebelah dan mungkin disambut doktor yang sama. Tetapi sepanjang tempoh membesar, persekitaran dan didikan sekeliling, menjadikan mereka berbeza.
Satu sebagai mangsa, satu lagi pemangsa.
Dan bayangkan ibu bapa yang mengandungkan anak-anak ini. Apakah situasi mereka masa mengandung? Apakah mereka menjaga solat mereka? Jaga aurat mereka? Jaga pergaulan mereka?
Apa status ibu mengandung menentukan bagaimana anaknya.
Dan bagaimana persekitaran yang dilalui oleh kanak-kanak ini… kalau negatif, negatiflah jadinya.
Justeru sangat penting bagi kita menentukan fardu ain kanak-kanak kita dijaga. Sebagai ibu bapa atau penjaga, menjadi kewajipan kita untuk memastikan anak-anak dididik dengan akidah yang mantap, ibadah yang sempurna dan akhlak yang lembut.
Bagaimana akidah ini dibina? Saya beri contoh di sekolah. Apakah kita menyebut bagaimana Allah menjadikan daun itu berwarna hijau? Dalam sains kita hanya kata daun hijau ada klorofil.
Sebenarnya kita kena sebut tentang ketuhanan. Asal kejadian daun dari kuasa Maha Pencipta. Kerana itu apabila orang merasa adanya Tuhan, mereka merasa dilihat Allah. Secara automatik akan ada GPS dalaman, akan rasa takut untuk buat salah.
Akidah yang mantap ini akan melahirkan ibadah yang sempurna. Kita tahu Allah SWT tak pernah memungkiri janji-Nya, Allah kata, solat mencegah kemungkaran.
Tapi kalau masih berlaku kemungkaran maknanya apa?
Lihatlah ke dalam solat indeks negara kita, solat indeks sekolah kita, solat indeks pekerja-pekerja kita. Kalau satu organisasi nak mantap, solat mesti cukup dan tepat waktunya.
Akhlak lembut terhasil apabila ibadahnya lengkap. Ibadahnya lembut. Bayangkan kalau masyarakat kita akhlaknya lembut tentu tak ada isu viral yang negatif atau bahasa-bahasa kesat dilemparkan.
Buat golongan artis atau public figure yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, bangkitlah semua. Ayuh gunakan pengaruh anda untuk menyeru kepada kebaikan.
Peganglah kata-kata ini, your life is not about you. Bukan untuk tunjuk betapa hebat, betapa cantik, betapa terkenalnya kita… Tapi betapa besarnya manfaat sebab Allah paling sayang orang yang paling bermanfaat.
Dan ingatlah mati. Lihat, kanak-kanak kecil pun mati. Maknanya kita juga boleh mati bila-bila. Seperti maksud hadis:
‘Orang paling bijak adalah orang paling ingat mati.’
Pegangan Hidup
Saya nak sebarkan konsep 5A yang baru, (bukan 5A akademik) iaitu Agama, Akidah, Akhlak, Amanah dan Adil. Amalkanlah.
Dan mulakan hari dengan S.E.N.Y.U.M:
E – Empati
N – Nutrisi yakni jadilah manusia nutrisi, bukan toksik atau racun pada manusia lain
Y – Yakin pada Allah
U – Ubudiyah iaitu segalanya dibuat kerana Allah dengan syariat yang betul
M – Makrifatullah yakni kenal Allah dan baca Al-Quran
Sama-sama kita renungkan perkongsian ini. Semoga ia menjadi refleksi pada diri kita termasuk diri saya, dapat memberi inspirasi dan transformasi diri, insyaAllah.
Sehingga itu, teruslah mendoakan kesabaran dan ketenangan pada keluarga mangsa serta doakan anak-anak ini diberi hidayah. Wassalam.
No comments:
Post a Comment